Hari ini, mata wang Ringgit mencecah RM 4.00 untuk USD $1.00.
Apabila saya masuk ke dalam akaun Facebook dan Twitter saya, 9 daripada 10 post atau komen yang terpapar dalam akaun saya telah menghentam Kerajaan berkaitan nilai Ringgit.
Pendek kata, pemuda-pemuda yang menguasai media sosial hari ini telah menghantar komen seolah-olah tiada hari esok untuk Malaysia.
Dan hanya dalam tempoh sebulan yang lalu, saya melihat bagaimana rakyat Malaysia boleh berubah-ubah daripada menjadi pakar perlembagaan, penganalisis penerbangan dan kini sebagai pakar ekonomi.
Ada juga yang pergi lebih jauh telah menyalahkan UMNO dan YAB PM. Ada kumpulan ini dikenali sebagai Suara Rakyat yang suka berkata "negara-negara lain lebih baik kerana UMNO tiada di negara mereka".
Sudah tentu, apabila anda mempunyai pandangan yang sempit, miopia, anda akan cenderung untuk terlupa pada hakikat bahawa dalam tempoh 5 tahun,
• mata wang Russia, Roubles jatuh 114% berbanding USD
• mata wang Indonesia, Rupiah jatuh 51% berbanding USD
• mata wang India, Rupee jatuh 38% berbanding USD
• mata wang Norway, Krone jatuh 37% berbanding USD
• mata wang Dolar Australia jatuh 24% berbanding USD
• mata wang Euro jatuh 20% berbanding USD
• mata wang Thailand, Baht jatuh 10% berbanding USD
Adakah saya perlu tambah?
Salah satu faktor penyumbang yang dihadapi oleh negara-negara ini adalah faktor penurunan harga minyak. Minyak mentah diniagakan pada USD $70-80 setong beberapa tahun yang lalu dan hari ini telah jatuh di bawah USD $50 setong.
Juga, Amerika Syarikat bukan satu-satunya rakan perdagangan kita dan prestasi Ringgit tidak diukur berbanding dolar Amerika Syarikat sahaja.
Apabila kita melihat Ringgit,
• kita mengukuh berbanding Dolar Kanada (2%)
• kita mengukuh berbanding Rupee India (10 %)
• kita mengukuh berbanding Yen Jepun (14%)
• kita mengukuh berbanding Rupiah Indonesia (18 %)
Saya tidak perlu menamakan mata-mata wang yang lain, bukan?
Adakah anda tahu bahawa nilai perdagangan kita dengan India, Jepun dan Indonesia hampir mencecah 20%?
Yang mudah disimpulkan ketika ini, kita lekas terpengaruh dengan berita negatif dan pantas mengulas umpama seorang pakar di dalam akaun Facebook dan Twitter kita. Itulah yang sedang berlaku pada hari ini.
Sudah tentu, tiada seorang pun di antara anda, ada merujuk kepada apa yang telah berlaku pada tahun 1998.
Tiada siapa yang ingat apabila Ringgit terhempas ke tahap serendah RM 4.725 untuk USD $1.00 pada 7 Januari 1998 (kadar jualan di kaunter Bank Negara Malaysia (BNM) adalah lebih daripada RM 4.80).
Anda semua yang cepat dan cekap mengulas mengenai keadaan ekonomi Malaysia dalam dinding Facebook anda, pada ketika itu mungkin masih di bangku sekolah lagi.
Jadi, tiada seorang pun daripada anda yang tahu, sedar atau ingat, atau pernah mengalami apa yang berlaku pada tahun 1998 apabila Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.
Dulu,
a) Orang kehilangan pekerjaan atau mempunyai kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan;
b) Isi rumah terhimpit;
c) Kadar pinjaman purata adalah 12.16%; dan
d) Kadar inflasi hampir kepada 3% tanpa penarikan subsidi.
Sesiapa di kalangan anda yang merasa ragu-ragu tentang angka inflasi 2-3 % hari ini dan merasakan kadar itu adalah tinggi, tolong fikirkan juga senario yang telah terjadi pada 1998-1999.
Dan benar, kadar pinjaman purata adalah lebih 12%. Peristiwa itu pernah berlaku suatu ketika dahulu.
Anda boleh mengatakan peristiwa itu merupakan sejarah, dan anda boleh terus mengasak Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia dan Kerajaan kerana nilai angka pada hari ini.
Tetapi, lain kali sebelum anda merasa marah dan berkongsi kemarahan anda di Facebook atau Twitter, cuba tanya diri anda sendiri sama ada kadar pertukaran Ringgit-Dolar memberi kesan kepada anda, dan bagaimana:
1. Adakah anda gemar membeli-belah dalam talian dari laman web Amerika Syarikat?
2. Adakah anda sedang merancang untuk terbang bercuti ke Amerika Syarikat?
3. Adakah anda seorang rakyat Malaysia yang sedang belajar di Amerika Syarikat?
4. Adakah anda mengimport barang untuk dijual semula di Malaysia?
5. Adakah anda membeli barang keperluan dan makanan dari Amerika Syarikat untuk digunakan di sini?
6. Adakah anda menggunakan dolar AS dalam kehidupan seharian anda?
Saudara-saudari yang budiman, sekiranya anda menjawab YA kepada persoalan di atas, barulah anda terjejas. Namun, jika jawapannya TIDAK, mengapa perlu anda melatah lantas merasa sangat bimbang?
Gaji anda masih dalam Ringgit dan anda tidak membeli pun barang keperluan dengan dolar Amerika.
Yang pasti, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa keadaan ini memberi sedikit kesan kepada beberapa segmen terutama aktiviti import dan rancangan kita untuk melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain. Saya juga berpendapat bahawa terdapat banyak perkara yang YAB PM boleh lakukan (yang beliau tidak sama sekali lakukan sekarang) dan akannsaya kongsikan sedikit masa lagi.
Dan tuan-tuan perlu diingatkan bahawa beberapa agensi penarafan antarabangsa seperti Fitch, Moody dan S & P, kesemuanya meletakkan prestasi Malaysia kekal stabil.
Sedarlah tuan-tuan, bahawa tiada ahli ekonomi di luar sana yang 'menghukum' bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh, tetapi hanya ahli politik sahaja yang menyebarkan fahaman 'tahyul' sebegitu. (Goh Wei Liang)
Terjemahan daripada bahasa Inggeris.