UEC, Resolusi dan
Undi kaum Cina
Apabila
bahang pilihanraya ke-14 (PRU14) semakin terasa, suara-suara desakan menggesa Kerajaan mengiktiraf UEC mula saling
bersahutan. Platform tuntutan ini sudah boleh dijangka. Seperti diduga,
resolusi Mesyuarat Agung setiap pertubuhan dan persatuan yang berasaskan kaum Cina
iaitu daripada Dewan Perniagaan Cina, persatuan yang mewakili setiap jenis
perniagaan kaum Cina dan parti politik yang didominasi oleh kaum Cina secara
konsistennya menuntut Kerajaan mengiktiraf UEC. Resolusi tersebut hanyalah
untuk menunjukkan solidariti kaum Cina yang bertujuan memberi isyarat tersirat kepada
Kerajaan. Pihak yang menjadi juara dalam tuntutan ini sudah pastinya daripada
pertubuhan pendesak kaum Cina iaitu Dong Zong yang kini kononnya lebih mesra
BN.
Umum
mengetahui Dong Zong adalah seperti tekong perahu yang menentukan kecenderungan
sokongan kaum Cina dalam sesuatu pilihanraya. Tidaklah menjadi sesuatu yang
menghairankan apabila undi kaum Cina dilihat seperti mempunyai kesepakatan.
Dong Zong melalui puluhan persatuan malah ribuan ahli daripada gabungan
persatuan tersebut mampu dikatakan mampu mencorakkan keputusan pilihanraya.
Mereka juga menjadikan keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak sebagai testimoni. Cuma
apa yang pelik sejak akhir-akhir ini, ahli politik berpengaruh daripada UMNO
sendiri menyatakan sokongan secara terbuka terhadap pengiktirafan UEC.
Sukar
difahami adakah mereka ini tidak sedar akan kesan akibat sekiranya tuntutan
tersebut ditunaikan? Isu tentang pengiktirafan UEC malah hal-hal berkaitan
dengan pendidikan Cina di negara ini telah dibahaskan sejak sekian lama. Ahli
Parlimen veteran dalam kalangan parti Kerajaan dan pembangkang pasti lebih
memahami isu ini jika mereka mengikuti perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan
1995 dahulu. Oleh itu, apakah sebenarnya UEC ini sehingga lebih empat dekad isu
dan tuntutan yang sama terus hidup tanpa kesudahannya?
Gabungan Persatuan
Dong Jiao Zong menganugerahkan UEC
Pensijilan
adalah anugerah dari satu peperiksaan yang dijalankan bagi menguji mata
pelajaran tertentu yang diajar dalam sesuatu sistem pendidikan. Oleh itu,
pengiktirafan sesuatu sijil pada dasarnya perlu melihat kepada kurikulum yang
diajar, cakupannya, kualiti tenaga pengajar dan pelbagai aspek lain yang perlu
dilihat dari segi teknikalnya. Sebenarnya UEC hanyalah output daripada sistem pendidikan Cina yang dijalankan di Sekolah
Menengah Persendirian Cina (SMPC). Dalam hal ini adalah sesuatu yang menjadi
tanda tanya apabila Dong Zong mahupun Jiao Zong tidak pernah walaupun sekali
menuntut dengan jelas kepada Kerajaan supaya sistem pendidikan yang dijalankan di
SMPC diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Sebaliknya,
tuntutan dan desakan mereka hanya tertumpu kepada pengiktirafan UEC sahaja.
Strategi pendokong pendidikan Cina berjaya memesongkan pandangan masyarakat
umum tentang perkara pokok sebenarnya.
Tahukah
anda SMPC menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan dengan
sengaja menafikan peruntukan perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan? Adakah masyarakat umum juga menyedari bahawa SMPC yang
berjumlah 60 buah di seluruh Malaysia dari mula beroperasi hingga kini
melaksanakan kurikulum yang dibina sendiri oleh Dong Zong? Sedangkan Dong Zong
sendiri tidak mempunyai mandat mahupun diperuntukkan sebarang kuasa melalui
peruntukan perundangan yang membolehkannya melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Seringkali
Dong Zong berhujah bagi mendapatkan simpati masyarakat dengan mengatakan Kerajaan
mengamalkan double standard terhadap
UEC. Status UEC digambarkan sebagai sama kedudukannya dengan IGCSE, ‘A’ Level, ‘O’ Level dan International Baccalaureate (IB). Faktanya ialah
kesemua peperiksaan luar negara tersebut dikendali dan dikawal selia oleh badan
yang berkredibiliti dan berautoriti dalam pendidikan di negara masing-masing.
IGCSE, ‘A’ Level dan ‘O’ Level adalah di bawah Cambridge Universiy manakala
IB dikawal selia oleh International
Baccalaureate Organisation (IBO) yang berpusat di Geneva. Walaupun sering diuar-uarkan
bahawa kurikulum SMPC bagi mata pelajaran Matematik dan Sains cakupannya lebih
luas daripada kurikulum kebangsaan namun hakikatnya itu tidak boleh dijadikan
sandaran dalam menentukan kualiti sesuatu sistem pendidikan.
Tidak
seperti badan yang mempunyai autoriti dalam menggubal kurikulum seperti yang telah
wujud sekian lama di Kementerian Pendidikan, pada pandangan Dong Zong bertambah
besar cakupan sesuatu kurikulum bermaksud bertambah berkualitilah sesuatu
sistem pendidikan itu. Dalam hal ini, penggubalan sesuatu kurikulum turut mengambil
kira kesesuaian umur dengan kurikulum di samping keperluan kurikulum itu
sendiri. Bukanlah menjadi dasar mana-mana negara di dunia ini dengan sengaja
menggubal tahap kurikulum yang lebih tinggi berbanding kohort umur semata-mata untuk
dikatakan berkualiti.
Hakikatnya
Dong Zong hanya membebankan pelajar SMPC kepada perkara yang tidak perlu. Ini
kerana tahap tersebut sepatutnya dipelajari oleh pelajar dalam peringkat
pendidikan seterusnya. Begitu juga dengan kandungan dan kualiti buku teks yang
dihasilkan sangat meragukan. Daripada sistem pendidikan Cina di SMPC inilah
yang melahirkan UEC.
Secara
amnya, seperti yang dikatakan secara ringkas sebelum ini tentang kualiti
kurikulumnya selain menafikan peruntukan perlembagaan tentang bahasa kebangsaan
jelas menjawab kenapa Kerajaan enggan mengiktirafkannya. UEC hanyalah satu
peperiksaan peringkat dalaman yang dikendali dan dikawal selia oleh hanya sebuah
gabungan yang berstatus ‘persatuan’ Cina dan jauh sekali layak untuk diiktiraf
sebagai peperiksaan umum di Malaysia.
Kemasukan Lepasan UEC
ke universiti terkemuka dunia
Dakwaan
yang menyatakan bahawa UEC dengan sendirinya diiktiraf oleh universiti
terkemuka di dunia termasuklah Harvard University dan Oxford University
merupakan suatu pernyataan yang keterlaluan (overstatement). Hakikatnya, pelajar lulusan UEC juga disyaratkan
untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti luar negara seperti College Admission Test (CAT) dan Scholastic Assessment Test (SAT) sebelum
layak diterima masuk untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda. UEC
sebagai kemasukan terus (direct entry)
ke universiti merupakan suatu fakta yang tidak tepat dan hanyalah sebagai satu
helah untuk mengaburi pemahaman masyarakat umum. Golongan pendesak tersebut
seharusnya bersikap lebih telus dan berani menyatakan perkara yang benar ini kepada
masyarakat umum jika mereka benar-benar ikhlas dan tidak mempunyai agenda yang
tersembunyi.
Pengiktirafan UEC dan
kesannya terhadap negara
UEC
dari perspektif umum memberi tanggapan bahawa hanyalah sekadar satu sijil yang boleh
digunakan oleh pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih
tinggi. Dalam konteks ini, mana mungkin boleh mendatangkan kesan besar terhadap
negara. Persepsi dan perspektif sedemikian hendaklah diperbetulkan.
Seperti
yang dinyatakan sebelum ini, UEC merupakan output
daripada sistem pendidikan Cina yang dilaksanakan di 60 buah SMPC.
Pengiktirafan UEC juga bermakna Kerajaan turut mengiktiraf sistem pendidikan
Cina di SMPC.
Pengiktirafan UEC dan SMPC akan mengakibatkan implikasi yang mampu mengubah
lanskap pendidikan di negara ini.
Pertamanya,
akan wujud dua sistem pendidikan di negara kita iaitu sistem pendidikan
kebangsaan dan sistem pendidikan Cina. Secara langsungnya, hal ini akan menyebabkan
berlaku situasi pengasingan kaum secara terancang yang merencat agenda
perpaduan nasional. Berdasarkan trend penyertaan murid ke sekolah rendah mengikut
kaum sangat jelas menunjukkan bahawa ibu bapa kaum Cina lebih cenderung
menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Pada
masa yang sama, kempen-kempen yang dilakukan oleh NGO kaum India sejak
kebelakangan ini telah berjaya meningkatkan penyertaan murid kaum India ke Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Akhirnya Sekolah Kebangsaan (SK) akan menjadi
eksklusif kepada murid kaum Melayu sahaja walaupun pada hakikatnya tiada
diperuntukkan oleh undang-undang kewujudan SK Melayu seperti SJKC dan SJKT.
Atas
dasar itulah, terdapat rasional kenapa semua murid dari pelbagai aliran
pendidikan rendah perlu mengikuti pendidikan di peringkat menengah yang sama di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Hanya
di SMK sahajalah platform yang ada bagi menemukan semua murid pelbagai kaum
untuk memupuk perpaduan. Maka, dengan pengiktirafan UEC itu nanti ibu bapa kaum
Cina pastinya akan menghantar anak-anak mereka meneruskan pendidikan menengah
di SMPC. Kesan daripada itu, akan berlaku pertambahan bilangan SMPC yang ketara
bagi menampung keperluan pendidikan menengah semua kaum Cina. Secara
prinsipnya, di negara ini kaum Cina akan mempunyai sistem pendidikan yang eksklusif
untuk mereka bermula dari peringkat pendidikan prasekolah sehinggalah ke
peringkat menengah. Bukan juga sesuatu yang mustahil tuntutan ini berlanjutan
hingga ke peringkat pendidikan tinggi seperti yang diperjuangkan oleh Dong
Zong. SMK yang dikatakan sebagai platform yang menemukan semua murid pelbagai
kaum tiada lagi membawa sebarang makna. Perpaduan yang diharapkan untuk dipupuk
di SMK mungkin hanya melibatkan murid Melayu dan sebilangan murid India sahaja,
itupun sekiranya bernasib baik.
Lanjutan
daripada ini, sijil yang diperoleh oleh murid juga adalah berasaskan kaum.
Murid Cina akan memperoleh sijil UEC manakala sijil SPM hanyalah diperoleh oleh
murid bukan Cina. Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi sekiranya berlaku
fenomena double-standard sekiranya
sijil UEC dianggap lebih baik daripada sijil SPM dan menghadkan peluang lulusan
SPM untuk melanjutkan pengajian ataupun mendapatkan pekerjaan.
Keduanya,
kualiti murid yang dihasilkan oleh sistem pendidikan Cina tidak mengikut
acuan pembinaan sebuah negara bangsa
yang bertunjangkan Rukunegara dan menggagalkan pembentukan Gagasan 1Malaysia
yang bermatlamatkan perpaduan antara kaum. Berbanding dengan sistem pendidikan
kebangsaan yang menganjurkan perpaduan kaum seiring dengan matlamat dan hala
tuju negara, pengiktirafan UEC dikhuatiri akan menjejaskan matlamat dan hala
tuju perpaduan yang ingin dicapai.
Seterusnya,
desakan untuk mengiktiraf sijil UEC bagi kemasukan ke universiti awam (UA)
menafikan hak murid yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan dan mencetuskan
ketidakpuasan hati pihak yang terlibat serta menjejaskan keharmonian antara
kaum. Situasi genting seumpama ini seharusnya dielakkan tanpa kompromi.
Disebabkan
pendidikan di SMPC hanya memberi kelebihan kepada kaum Cina sahaja, maka, ianya
secara tidak langsung akan menggugat dasar dan matlamat pendidikan negara untuk
menyediakan pendidikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang
dilaksanakan di SMK. Hakikatnya, SMK merupakan satu-satunya wadah dan platform
terbaik bagi memupuk perpaduan nasional dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di
negara ini.
Timbal balas dan
langkah ke hadapan
Berdasarkan
kepada hujah yang dikemukakan, ternyata bahawa sistem pendidikan kebangsaan dan
sistem pendidikan Cina tidak mungkin menemui titik pertemuan. Hujah ini mungkin
dianggap keterlaluan atau over-exerting,
namun adalah berasas ekoran perbezaan yang ketara dalam konteks aspirasi
kedua-dua sistem tersebut; pendirian pihak pendokong pendidikan Cina yang tidak
langsung mahu bertolak ansur dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan
melainkan kepentingan kaum Cina itu sendiri berbanding pendirian Kerajaan yang
mendahulukan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum; dan konflik yang timbul
hasil daripada pengasingan kaum yang wujud daripada kedua-dua sistem pendidikan
tersebut.
Justeru,
sanggupkah kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan menyedari kepentingan
perpaduan kaum dalam membina jati diri dan negara bangsa merelakan situasi ini
terus wujud dalam sistem pendidikan di negara ini? Tepuk dada dan tanyalah
selera!
17 MAC 2017
No comments:
Post a Comment